Rafizi: Cadangan Noh Omar Paling Gila
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyifatkan cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar untuk memberikan lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan merupakan keputusan paling gila mengenai perumahan dan kewangan negara.
Beliau yang juga naib presiden dan setiausaha agung PKR berkata, melesenkan 'along' dan meluaskan riba dengan kadar faedah 12 hingga 18 peratus adalah satu bentuk penghambaan kewangan.
"Mana-mana peminjam yang mengambil pembiayaan rumah pada kadar ini samalah seperti menjadi hamba kepada pemberi pinjaman sehingga ke akhir hayat kerana jumlah bayar balik adalah di antara empat hingga enam kali ganda dari jumlah yang dipinjam.
"Oleh itu, saya akan mengikuti dengan dekat isu ini dan akan mula menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah perumahan rakyat bermula minggu depan.
"Saya juga akan berusaha agar risiko-risiko akibat dari keputusan memberi lesen pembiayaan kepada pemaju besar ini difahami rakyat secepat mungkin dan mula menyiarkan video ringkas menerangkan perkara ini kepada orang ramai petang ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Noh berkata, kerajaan mempertimbangkan cadangan itu untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank dan menangani masalah bayaran pendahuluan.
"Justeru itu saya mencadangkan supaya pemaju perumahan berkelayakan terutama syarikat mempunyai sumber kewangan yang banyak, seperti Sunway Group, EcoWorld, Mah Sing dan Glomac, diberi lesen pemberi pinjam wang.
"Ia akan hanya terhad kepada penyediaan pembiayaan akhir untuk pembeli rumah berkelayakan, yang mengalami kesukaran memperoleh pinjaman dari bank," tambah Noh lagi.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor pula menyambut baik cadangan itu bagi membantu usaha pemilikan aset.
Fateh Iskandar berkata, cadangan itu harus dilihat dari sudut positif bagi membantu pemaju yang membangkitkan kesukaran bakal pembeli mendapatkan kemudahan pinjaman berkenaan.
Mengulas lanjut, Rafizi menambah, pihaknya semakin cenderong untuk mengesyaki cadangan tersebut bukanlah keputusan pertimbangan dasar tetapi satu skim untuk mendapatkan dana pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk Barisan Nasional (BN).
"Satu-satunya faktor mengekang Datuk Seri Najib Razak mengadakan PRU14 lebih awal ialah kekurangan dana memandangkan apa-apa dana yang diselewengkan dari 1MDB kini dibekukan di negara-negara lain.
"Dengan belanja PRU14 yang mencecah beberapa billion ringgit, Najib dan kepimpinan Umno mesti mencari sumber baru," tambah beliau.
Justeru, beliau khuatir sekiranya cadangan kerajaan pusat ini adalah jalan belakang ke arah itu dan sebagai balasan, kumpulan pemaju besar yang diberikan lesen perlu 'menderma' sejumlah yang besar kepada BN.
"Jika satu lesen menarik derma sebanyak RM100 juta (iaitu jumlah yang kecil bagi satu lesen institusi kewangan), lima lesen mampu menarik 'derma' politik sehingga RM500 juta," jelasnya lagi.
Selain itu, jika cadangan itu dilaksanakan, negara berdepan dengan risiko-risiko lain yang akan membunuh rakyat dan membunuh ekonomi ekoran potensi wujudnya risiko kewangan 'sub-prima' dan lebih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah.
~ sumber .
Comments
Post a Comment