Perpecahan Dalaman PAS

Perpecahan dalaman Pas tidak dapat dinafikan lagi bro ! sesiapa yang sering ikuti perkembangan politik semasa, akan mengakui hakikat ini. Bagi aku, Pas berpecah adalah akibat dari peralihan teraju utamanya dengan menghimpit semaunya Umno yang menjadi musuh tradisi Pas zaman berzaman yang tidak pernah berlaku sebelum dari Hadi. Pas juga berpecah kerana munculnya Amanah sebagai wadah baru gantikan Pas yang sudah nazak itu bro ! Nazak dari nilai akhlak Islam pendokong2nya. Ramai yang berhirah ke Amanah dari Pas menyebabkan pimpinan Pas semua peringkat seolah cacing kepanasan bro ! Kah Kah Kah

Perbezaan pendapat pimpinan dengan Hadi tidak dibenarkan langsung dan dianggap terbatal. Ini dinyatakan sendiri oleh KDUP Selangor (baca sini) faham semacam ini digelar faham dictatorial bro! Faham yang tidak pernah berlaku dalam Islam sekalipun sementelah pula ianya dari parti politik Pas yang menjadikan Islam teras perjuangannya? Tetapi semua itu hanya omong kosong.

Bacalah pandangan dari Khalid Samad selaku orang lama dalam Pas dahulu dan sekarang bersama Amanah sebagai tenaga penting dan Khalid inilah yang TITM minta tutup mulut bila Khalid hala balik serangan dengan meminta Tuan Ibrahim sertai Amanah. Marahlah kawan bro ! Kah Kah Kah

 
Semua ini hanya akan walaak terus tanpa boleh bercanggah dengan Tok Sidang mereka. Kah Kah Kah


Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS (Bahagian I)

Perkembangan mutakhir ini, dengan kemunculan gerakan Harapan Baru (HB) telah menyebabkan ramai ahli PAS berada dalam keadaan kebingungan. Mereka tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku? Mengapa PAS yang selama ini kelihatan kukuh bersatu dan sedang berada dalam kedudukan yang antara paling berjaya sepanjang sejarahnya, tiba-tiba bagaikan berpecah dua?
Bagi sebahagian ahli, soalan yang timbul dijawab secara mudah dan dengan kaedah menghukum seperti, “tiadanya keikhlasan”, “proses pembersihan”, “sifat munafik”, “kecewa” dan sebagainya. Namun dijawab pula sebahagian yang lain bahawa, “mereka yang terlibat adalah orang-orang lama, lebih 30 tahun bersama PAS dan telah berkali-kali diuji dan terbukti keikhlasan mereka. Sekiranya sebab-sebab seperti itu adalah puncanya, sudah pasti sudah lama mereka meninggalkan perjuangan ini”. Oleh itu ramai dari kalangan ahli biasa menolak penjelasan yang mudah seperti itu. “Semestinya wujud sebab yang lain”, kata sebahagian mereka lagi.

Maka di atas sebab lain inilah yang cuba saya rungkaikan di sini. Dalam membuat analisa ini, saya terpaksa menjelaskan bukan sahaja yang tersurat tetapi juga yang tersirat. Mungkin bacaan saya tepat, tetapi mungkin juga sebaliknya, namun dalam usaha memahami keadaan yang telah berlaku, penjelasan yang saya kemukakan ini adalah, bagi saya, yang paling munasabah dan rational.

BERMULANYA MASALAH

Masalahnya pada hemat saya bermula selepas sahaja kemenangan tercapai dalam PRU 2008. Boleh dikatakan ianya merupakan ‘ujian kemenangan’ buat PAS. Pada ketika itu, PAS dan PKR berada dalam Barisan Alternatif (BA). Untuk menghadapi PRU 2008, telah diwujudkan persefahaman politik antara BA dan DAP demi mengelak berlakunya pertandingan tiga penjuru apabila berdepan dengan UMNO/BN.
Tanpa dijangka, BA dan DAP telah mencapai keputusan yang begitu baik sehingga memungkinkan pembentukan kerajaan di lima Negeri dan menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen. Oleh kerana ianya tidak dijangka, maka PAS agak bercelaru menanganinya!
Sehari selepas keputusan diumumkan, terdapat pimpinan PAS yang telah mengatur pertemuan dengan pimpinan UMNO. Yang sah dan nyata, cadangan membentuk kerajaan bersama UMNO/BN telah dipertimbangkan untuk Selangor dan Perak. Saya tidak dengar cadangan sama dipertimbangkan untuk Kedah. Mungkin untuk Kedah ianya tidak dianggap perlu atas sebab PAS adalah majoriti. Ianya juga tidak releven untuk Kelantan.
Di Pulau Pinang pula, jumlah kerusi DAP dan PKR mencukupi untuk pembentukan kerajaan. Maka tiada apa yang boleh dilakukan PAS kecuali untuk bersama.

‘KETIDAK SELESAAN’ PIMPINAN UTAMA PAS

Racangan bertemu pimpinan UMNO ini mungkin atas sebab ‘ketidak selesaan’ pimpinan utama PAS dengan pilihan membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP, melalui pembentukan PR, di Selangor dan Perak. Pada ketika itu, di kedua-dua negeri tersebut, PAS mempunyai kerusi paling sedikit berbanding PKR dan DAP. Pada masa yang sama, barisan pembangkang merupakan barisan pembangkang kesemuanya Melayu Islam dari UMNO! Maka adalah dipercayai pimpinan utama PAS merasakan kekeliruan teramat untuk PAS berada di pihak majoriti bukan Melayu Islam berhadapan dengan pembangkang Melayu Islam!
Walaupun usaha rundingan ini telah akhirnya berjaya dipintas, namun sikap ‘tidak selesa’ memerintah bersama PKR dan DAP dalam keadaan PAS tidak ‘dominan’ terus menghantui pimpinan utama di dalam PAS. Hasil dari itu, timbul pemikiran yang mempertikaikan kebijaksanaan pendekatan ‘PR’ kerana ia memungkinkan PAS ‘memerintah bersama’ tetapi dalam keadaan minoriti.
Namun ketidak selesaan ini tidak dikemukakan untuk dibincang tetapi sebaliknya ianya dipendam. Dan dalam setiap ucapan, ungkapan “kukuhkan PR” terus diulangi walaupun hati berkata sebaliknya.

SEPTEMBER 16 DAN KONSEP UG

Di atas kerangka pemikiran dan logik yang sama, maka cadangan September 16 anjuran DSAI ditolak pimpinan utama PAS. ‘Majoriti Islam Melayu’ adalah syarat yang tidak mampu dipenuhi pada ketika itu.
Pada 2009 mungkin hasil ‘ketidak selesaan’ ini juga, maka cadangan ‘Unity Government’ dikemukakan oleh DS Presiden PAS tanpa apa-apa perbincangan di peringkat PAS Pusat mahu pun Majlis Syura. Mungkin UG ini dilihat sebagai satu-satunya cara untuk melepaskan PAS dari dilema bersama PKR dan DAP tanpa ‘dominasi’ PAS. Pada ketika itu kerusi PAS di Parlimen juga adalah yang tersedikit berbanding rakan PR. Melalui UG, paling kurang, majoriti ‘Melayu Islam’ dapat tercapai kalaupun tidak dominasi PAS.
Akan tetapi segala perbincangan berhubung UG ini telah dipatahkan oleh Almarhum TGNA sehingga akhirnya ianya ditarik balik secara rasmi.
Sebuah kerajaan PR dengan PAS atau ‘Melayu Islam’ sebagai minoriti, di Parlimen dan di beberapa Negeri, yang mungkin terbentuk melalui kemenangan PR, tidak boleh diterima oleh pimpinan utama PAS. Akan tetapi, ramai dari pimpinan Pusat tidak melihatnya sebagai satu ‘masalah’ yang mewajibkan PAS mempertimbang kembali keterlibatannya dalam PR! Pada masa sama, ahli biasa semakin teruja dengan terbentuknya PR. Ini terbukti melalui keputusan pemilihan Muktamar PAS pada tahun 2011.
Pada muktamar 2011 saya sendiri telah dipilih sebagai AJK PAS Pusat setelah gagal beberapa kali sebelum itu. Kemenangan saya diyakini atas sebab sikap pro-PR saya yang turut disokong perwakilan pada ketika itu.

MENANGANI ‘MASALAH’ PEMIMPIN DAN AHLI ‘TERLALU’ PRO-PR

Pada ketika inilah, pada hemat saya, ada yang merasai bahawa demi menangani ‘masalah’ ini, maka perlu ditukar saff pimpinan AJK PAS Pusat dengan yang tidakterlalu pro-PR. Pada masa sama, perlu juga ditimbulkan keresahan ahli terhadap keterlibatan PAS dalam PR. Kalau tidak, maka hubungan PAS dan PR akan benar-benar dikukuhkan dan dengan itu dilema pimpinan utama PAS akan berterusan!
Masalah ini ditangani melalui strategi serampang dua mata seperti berikut:-
1. Pimpinan ‘terlalu pro-PR’ perlu dijatuhkan pada pemilihan Muktamar dengan apa cara sekalipun, termasuk pendekatan melabel dan fitnah
2. Hubungan antara PAS dan PR perlu digodak sehingga ahli terpaksa pilih antara PAS atau PR

STRATEGI PERTAMA: MULANYA KEMPEN FITNAH DAN MELABEL

Maka sejak selepas muktamar 2011, usaha dimulakan untuk menyebarkan kebencian terhadap pemimpin tertentu. Istilah ‘parasit’, ‘Anwarinas’ dan ‘Erdogan’ mula dipopularkan dan pemimpin yang disasarkan ini turut dikritik kerana ‘tidak menyokong ide UG yang dikemukakan Presiden. Mereka dituduh menolak konsep UG kerana “mementingkan kepimpinan dan politik DSAI lebih dari politik DS Presiden”.
Pada muktamar PAS 2013, usaha untuk menjatuhkan pimpinan yang terlalu pro-PRtelah diusahakan tetapi menemui kegagalan. Kewujudan usaha ini telah didedahkan oleh Dr. Hassan Ali melalui ‘video masyhurnya’ yang dirakam di satu majlis di Melaka pada 2013.
Kegagalan ini menyebabkan berlakunya usaha yang lebih gigih ke arah ‘pembersihan’ saff pimpinan dari anasir yang kononnya “wala’ Pakatan melebihi wala’ kepada PAS”.

i) Strategi Menjatuhkan Pimpinan ‘Terlalu Pro-PR’ Pada Muktamar 2015

Dengan itu strategi yang lebih kemas telah disusun bagi menghadapi Muktamar 2015.
Langkah pertama dilakukan sebaik sahaja selesai muktamar 2013. Pesuruhjaya PAS Negeri yang terlalu kommitted dengan PR ditukar. Antaranya, Dr. Rani, yang di bawah kepimpinannya PAS Selangor telah mencapai prestasi terbaik sepanjang sejarahnya dengan memenangi 15 kerusi DUN. Sambil itu muka baru turut dilantik sebagai PJ Perak walaupun terdapat mereka yang lebih lama dan lebih layak.
Langkah kedua adalah perlaksanaan program dalaman parti yang menjalankan kempen memburuk-burukkan pemimpin pro-PR. Program dalaman seperti Liqa’ Fikri, Liqa’ Siyaasi, Nekad dan sebagainya dianjurkan sepanjang hampir dua tahun dengan tujuan menanamkan kebencian ahli terhadap kelompok pemimpin ini.
Langkah ketiga, mempopularkan individu tertentu melalui program dalaman ini sambil pemimpin yang ingin ditolak terus diasak dan diserang dengan didakwa membawa fikrah menyimpang dari dasar Islam! Tuduhan bahawa kononnya ada usaha untuk menjatuhkan Presiden mula diwar-warkan melalui program dalaman seperti ini.
Langkah keempat adalah untuk menguasai cawangan dan kawasan tertentu sebelum muktamar 2015 supaya usaha menukar saff pimpinan dapat dijayakan. Ini menjadi lebih mudah dengan kehadiran asatizah muda yang telah diasuh sejak 2009 dengan sikap tertentu. Mereka telah muncul sebagai pimpinan cawangan dan kawasan.
Langkah kelima dan terakhir, menghalang mereka yang ingin dijatuhkan dari bertemu dengan ahli melalui program parti. Program yang ingin diadakan oleh pimpinan ini dituduh “berniat berkempen” dan ditolak oleh pimpinan beberapa negeri tetapi program menjatuhkan mereka terus dianjurkan.
Lima langkah seperti di atas telah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ianya tidak mungkin suatu kebetulan.

ii) Aduan Kepada Pimpinan Utama

Apabila diadu persoalan kempen jahat ini kepada DS Presiden semasa mesyuarat AJK PAS Pusat, maka telah sekadar dijawab bahawa fitnah dan dakyah adalah ‘perkara biasa’. Maka disyorkan semua yang difitnah dan diberi gelaran menghina menerimanya sebagai ‘sumber pahala’! Pokoknya, bibit perpecahan disemai dan dibiarkan begitu sahaja.
Terdapat juga pimpinan yang ‘menfatwakan’ bahawa label-melabel adalah ‘Sunnah’! Mereka mengemukakan berbagai hujjah untuk mempertahankan amalan terkutuk ini. Yang paling mengelirukan adalah dakwaan bahawa Abdullah Azam telah berpesan supaya sekiranya ada 10 peluru, maka 9 adalah untuk pengkhianat dan hanya 1 untuk musuh luar! Sedangkan Abdullah Azam menceritakan mengenai perjuangan untuk mencapai kemerdekaan menentang penjajah dan ‘pengkhianat’ yang dimaksudkan adalah orang tempatan yang bersekongkol dengan penjajah! Bukan ahli jemaah sendiri!
Tanpa usaha menghentikannya, media sosial dimanfaatkan untuk memperhebatkan lagi usaha dakyah dan fitnah terhadap pimpinan yang ingin dijatuhkan. Gelaran yang lebih serius diperkenalkan termasuk “Liberal, Sekular, Plural, anti-hudud, anti-ulama” dan sebagainya.

iii) Kemuncak Usaha Penyingkiran Pimpinan ‘Terlalu Pro-PR’

Pada muktamar 2014, istilah ‘barua dan broker’ diperkenalkan oleh DS Presiden sendiri. Melaluinya, pendirian DS Presiden yang jelas ‘berpihak’ semakin terserlah. DS Presiden menggelar saff pimpinan yang sediada pada ketika itu sebagai “pilihan muktamar, bukan pilihan dirinya”.
Menjelang Muktamar 2015, DS Presiden mengeluarkan kenyataan samada “pilih pimpinan pilihan PAS atau pilihan DAP”. Juga disebut “Muktamar sebagai medan membersihkan PAS dari pemimpin Sekular”.
Dengan usaha gigih yang dilakukan serta keterlibatan pimpinan utama sendiri, maka tidak hairan bahawa akhirnya matlamat pertama tercapai dengan cemerlangnya. Pimpinan yang ingin dijatuhkan dapat dijatuhkan secara ‘setandan’.
Bahagian kedua esok saya akan cuba menjelaskan strategi kedua, iaitu menimbulkan keresahan ahli terhadap PR. Ianya telah dilaksanakan dan jelas kelihatan semakin berjaya.

Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS (Bahagian II)

Dalam Punca Sebenar Perpecahan Dalaman PAS (Bahagian I) saya telah menceritakan latar belakang bermulanya perpecahan dalam PAS dan sebab-sebab mengapa ianya berlaku. Seterusnya saya telah mendedahkan keinginan pimpinan utama untuk mengubah hala-tuju PAS atas sebab ketidak selesaannya berada di dalam PR. Akhirnya saya telah menyatakan bahawa untuk keinginan itu terlaksana, maka dua perkara perlu dilakukan. Pertama, saff pimpinan yang terlalu pro-PR perlu diganti dan kedua, sokongan ahli terhadap PR perlu dilunturkan.
Kaedah bagaimana saff pimpinan dijatuhkan telah saya dedahkan secara terperinci dalam Bahagian I. Dalam Bahagian II ini, saya ingin menjelaskan bagaimana sokongan ahli terhadap PR dilunturkan.

STRATEGI KEDUA: DIGODAKNYA HUBUNGAN PAS DAN PR

Sambil usaha dijalankan untuk menyisihkan saff pimpinan yang terlalu pro-PR, strategi untuk meyakinkan ahli bahawa PAS perlu keluar dari PR turut dilaksanakan. Ini diusahakan dengan mencetuskan perbalahan secara berterusan dengan PKR pada mulanya dan DAP kemudiannya.

FASA 1: PERTEMBUNGAN DENGAN PKR

Pada pilihan raya 2013 dengan tidak semena-menanya telah berlaku ‘drama’ Kota Damansara, tuduhan ‘pil kuda’ dan pertindihan di enam (6) kerusi. Suasana bersepakat yang selama ini tenang dan baik tiba-tiba bergolak seolah-olah tanpa sebab.
Kerusi Kota Damansara telah dipersetujui diperingkat Negeri dan Pusat sebagai kerusi milik PKR. Dr. Nasir yang menjadi ADUN sejak 2008 atas tiket PKR telah berkhidmat tanpa menerima sebarang aduan dari PAS Negeri Selangor, samada dari PAS Kawasan Subang ataupun Majlis Tindakan DUN PAS Kota Damansara. Tetapi secara tiba-tiba beliau dituduh “mempertuhankan Lenin dan Marx” dan oleh itu ahli PAS Subang menolaknya dan meletak calon PAS. Tindakan mereka yang disokong DS Presiden hanya memenangkan calon BN! Namun tiada kekesalan walaupun sedikit ditunjukkan mereka yang terlibat dengan menangnya calon UMNO sehingga ke hari ini.
Begitu juga dengan tuduhan adanya calon PKR yang jual pil kuda! Mengapakah tuduhan ini perlu dilakukan secara terbuka sebegitu rupa sambil pilihan raya sedang berjalan? Tidakkah lebih wajar ianya dijelaskan secara tertutup kepada PKR dengan dibawanya 2 orang saksi atau bukti lain? Tidakkah itu lebih selari dengan kehendak keadilan Islam tanpa dipalit mana-mana individu dengan tuduhan yang sembrono sebegitu rupa?
Berdasarkan tindakan sebegini, tidak salah sekiranya ada yang merumuskan bahawa ianya tindakan yang sengaja dilakukan untuk memulakan ketegangan antara PAS dan PKR!
Selepas sahaja PRU 2013, walaupun pencapaiannya membanggakan dengan PR memperolehi undi popular melebihi 50%, Dewan Ulama PAS Pusat telah mengadakanMultaqa Ulama pertama di mana diusulkan supaya tahaaluf siyaasi dikaji semula. Dalam usul itu, dicadangkan hubungan PAS dengan PKR dikaji kembali.

i) PR Merugikan PAS?

Keadaan di mana PAS kekurangan kerusi Parlimen dari 23 pada 2008 ke 21 pada 2013 digunakan sebagai hujjah betapa PR merugikan PAS. Sedangkan pengurangan tersebut berlaku hasil perbalahan dalaman PAS Kedah yang tidak ditangani dengan baik sehingga PAS bukan sekadar kehilangan 5 kerusi Parlimen di Kedah tetapi telah kehilangan kerajaan Negeri di Kedah!
Kehilangan kerajaan Negeri dan kerusi Parlimen di Kedah sebenarnya tiada kena-mengena dengan keberadaan PAS bersama PR. Ianya hasil perbalahan dalaman PAS sendiri tetapi seperti biasa, lebih mudah menuding jari pada pihak lain dari mengakui kelemahan sendiri. Pada masa sama, ianya digunakan sebagai alasan untuk memudahkan pencapaian agenda pimpinan utama iaitu menyalahkan PR.
Usul Multaqa Ulama pertama pada 2013 ini kemudiannya berjaya diketepikan dengan menyatakan istilah ‘kaji semula’ bermaksud ‘kaji semula untuk diperbaiki’. Ianya dapat diketepikan pada ketika itu kerana masih ramai AJK PAS Pusat yang pro-PR.

ii) Pertembungan Dengan PKR Ditingkatkan

Krisis MB Selangor pada 2014 merumitkan lagi suasana apabila DS Presiden berkeras ingin pertahankan TSKI sambil ramai dari pimpinan Pusat dan PAS Selangor sendiri menganggap sebaliknya. TSKI dianggap mempunyai kelemahan dalam pengurusannya dan isu cara penyelesaian hutangnya sebanyak RM56 Juta dengan BIMB turut dipersoalkan.
‘Langkah Kajang’ hasil penolakan terhadap TSKI meruncingkan lagi suasana. Pada ketika itu PKR dan DSAI dijadikan sasaran di ‘media sosial ahli PAS’ seperti FB ‘El-haraki’ dan pimpinan PAS yang menyokong penukaran MB dituduh boneka PKR.
Dalam menghadapi krisis ini Presiden PKR telah turut dihina secara terbuka oleh DS Presiden PAS. Sedangkan, semua memahami, kenyataan tersebut boleh dinyatakan secara tertutup sekiranya hubungan ingin dijaga. Walaupun dihina sedemikian rupa, PKR tidak bertindak balas kerana ingin menjaga hubungan PR.
Seterusnya, kemasukan DSAI dalam penjara berlaku tanpa sebarang tanda simpati atau pembelaan dari pimpinan utama PAS. Ada juga dari PAS yang menganggapnya sebagai ‘satu rahmat’ yang membebaskan PR dari ‘liabiliti’ DSAI! Yang kelihatan bersama DSAI di mahkamah terus dikeji dan dihina melalui media sosial pro-PAS sebagai ‘ahli PAS yang wala’ pada DSAI’.
Mungkin yang diharapkan adalah tindakan balas dari PKR sepanjang episod berbalah dengan PKR dilakukan. Malangnya bagi mereka, PKR tidak bertindak balas walaupun DSAI sendiri dilaporkan telah ditengking oleh dalam satu perjumpaan di Terengganu. Tanpa tindak balas dari PKR, apa yang dikehendaki tidak tercapai dengan sepenuhnya.

FASA 2 : PERTEMBUNGAN DENGAN DAP

>Krisis bersama DAP berhubung isu hudud pula dihadapi pada penghujung 2014. Ianya turut dimanfaatkan ke arah pencapaian matlamat yang diingini. Giliran untuk ‘pimpinan yang ingin dijatuhkan’ dituduh sebagai boneka DAP pula! Mereka yang sekian lama dituduh sebagai boneka PKR dibidas dan digelar sebagai boneka DAP pula kerana tidak membela DS Presiden apabila dikritik DAP.
Hakikatnya terdapat juga kesilapan dari pihak PAS sendiri dalam menangani persoalan ini. Semua sedia maklum bahawa krisis ini dicetuskan melalui tawaran yang dibuat seorang Menteri UMNO di Parlimen. Cara ianya disambut oleh pimpinan PAS sambil membelakangkan parti rakan dalam PR antara pencetus perbalahan. Pada masa sama ada juga persetujuan dan janji yang didakwa dimungkiri oleh pimpinan utama PAS.

i) Pertembungan Dengan DAP Ditingkatkan

Namun isu hudud ini lebih mudah diperalatkan untuk menimbulkan ketegangan antara PAS dan DAP. Ahli PAS akan melihatnya sebagai perbalahan yang wajar dan berasas. Amat patut untuk PAS memutuskan hubungan dengan DAP oleh keranannya mengikut pandangan ahli biasa.
Maka Multaqa Ulama kedua pada 2015 menimbulkan kembali kritikan terhadap PR tetapi kali ini disasarkan DAP. Usul Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat untuk memutuskan hubungan dengan DAP mengikuti sejurus selepas itu.

ii) Tercapainya Apa Yang Diingini

Maka akhirnya, selepas berusaha sejak 2008, demi menyelesaikan ‘ketidak selesaan’ pimpinan utama PAS, keputusan yang diingini tercapai melalui pemilihan Muktamar 2015. Pertembungan antara dua aliran pemikiran yang ingin mencorakkan hala-tuju politik PAS diselesaikan dengan kemenangan menyeluruh satu pihak.
Hala-tuju yang telah diikuti PAS selama ini, yang bersifat inklusif, ‘PAS for All’ serta kommited kepada PR, tidak lagi akan dipertahankan pimpinan PAS Pusat kerana hala-tuju itu bukan lagi pilihan DS Presiden dan MSU. Hakikatnya, hubungan DS Presiden dengan DSAI dan LKS sudah lama rosak dan oleh itu sudah tiada lagi sebarang kejujuran dalam hubungan bersama PR.
Malangnya kaedah yang digunapakai untuk mencapai perubahan pimpinan tidak merupakan kaedah yang telus dan jujur. Ianya tercapai melalui fitnah dan penyebaran kebencian terhadap pemimpin yang tidak dipersetujui mereka. Kempen fitnah dan kebencian ini mengharuskan juga amalan cai buat pertama kalinya di dalam sejarah pemilihan PAS.
Seterusnya melalui adu-domba yang sengaja diadakan antara PAS dan PKR pada awalnya, dan PAS dan DAP pada kemudiannya. Ahli PAS mula pertikaikan PKR dan lebih-lebih lagi DAP. Dengan itu sokongan terhadap PR itu sendiri telah dapat dilunturkan. Mereka yang kuat menyokong PR turut tidak lagi mendapat sokongan penuh seperti dahulu.

PEMBENTUKAN PARTI BAHARU

Dengan penguasaan menyeluruh oleh pihak yang ingin membawa perubahan hala-tuju, termasuk DS Presiden sendiri, maka pihak yang ingin meneruskan hala-tuju lama tidak mempunyai pilihan selain menubuhkan parti baharu. Dulu pandangan mereka dapat juga dikemukakan dan mempengaruhi perjalan PAS, tetapi dewasa ini pendekatan pilihan mereka telah ditolak Muktamar 2015 walaupun tanpa ianya dibahas. Yang dibahas sebaliknya adalah isu lain, seperti ‘anti-ulama’ dan ‘anti-hudud’. Sebenarnya kesemua isu ini adalah sekadar helah untuk menaikkan sentimen kebencian sambil matlamat yang diingini tercapai.
Penubuhan parti baharu yang akan meneruskan pendekatan lama ini terpaksa diusahakan oleh golongan yang telah difitnah. Dengan itu, paling kurang, imej perjuangan Islam yang inklusif dan terbuka, sebagai pembela nasib seluruh rakyat dapat mereka teruskan.

KESIMPULAN

Bagi diri saya, inilah sebenarnya punca perpecahan yang berlaku di dalam PAS.Perbezaan pendapat berhubung ‘wajibnya’ dominasi PAS atau ‘Melayu Islam’ adalah isunya! Malangnya ianya tidak dibincang atau dibahas, mungkin atas sebab ketidak-mampuan berhujjah, atau sangkaan buruk bahawa pihak satu lagi tidak akan menerima walau apa sekalipun hujjahnya! Sebaliknya pendekatan licik untuk menjatuhkan pimpinan dan mencorakkan pemikiran ahli dilaksanakan.
Hasil ketidak-telusan ini maka akhirnya ramai yang bertanya, apa sebenarnya hala-tuju politik PAS? Ramai tertanya-tanya samada PAS ingin bersama PR, bersendirian atau bersama UMNO/BN? Timbulnya soalan ini atas sebab dilihat PAS “cakap tidak serupa bikin”. Analisa saya berusaha untuk memberikan rasional terhadap tindakan PAS yang kelihatan amat bercelaru ini. Tidak dinafikan, bacaan saya mungkin betul, mungkin tidak. Tetapi ini sahajalah yang mampu dirumuskan berdasarkn bacaan dari yang tersurat dan yang tersirat. Ianya sesuatu yang sukar apabila terdapat pimpinan di dalam mana-mana organisasi yang tidak sanggup berterus terang berhubung apa yang dilihatnya sebagai ‘masalah’.
Perbahasan mengenai samada perlunya dominasi PAS dalam PR dan bagaimana pendekatan berbeza akan terhasil oleh kerana ‘syarat’ ini akan saya bincangkan dalam artikel yang berikutnya insyaAllah. Semoga Allah memberkati semua usaha kita ke arah menghayati agamaNya dan menzahirkan keadilanNya.
WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD


Sumber ~ Amanah Negara.



Comments

Popular posts from this blog

Wanita Arab dan Bukit Bintang - video

Lebai Otak Tersumbat ! Episod Jilat Kaharq Ijau.| Edisi Tertangguh.

Foto Kereta Kebal terbaru Rusia 'Armata' Mampu lindungi tenteranya di medan perang. - Video