OBOR: One Belt One Road ! Bahaya Dalam Cahaya

Sekarang Politik boleh dieksport bro ! Bukan sahaja ekonomi dan  tenaga kerjanya ! Semua ini menggugat sesebuah negara. Mereka menakluk dunia tanpa perlu berperang dan mengangkat senjata !!!
Inilah yang terjadi sekarang. 

Biasanya ramai anak negeri tidak menyedarinya bahawa negara mereka sedang 'dijajah'? Bacalah tulisan A. Kadir Jasin yg menarik ini bagaimana China adalah satu kuasa baru dunia yang sedang giat melaksanakan OBOR nya, iaitu satu laluan mudah untuk China 'menakluk' sesebuah negara seumpama M'sia hanya dgn ideologi baru ini.

OBOR: Bahaya Dalam Cahaya

Oleh A Kadir Jasin


 
ONE Belt One Road (satu kawasan satu laluan) atau singkatannya OBOR memberikan China raison d’ĆŖtre (alasan) untuk mengeksport politik, ekonomi dan kekuatan ketenteraannya tanpa menakutkan dunia.
Ia adalah cetusan ilham pemimpin agung Cina, Xi Jinping pada tahun 2013 di mana segala-gala bermula di Beijing. Dalam erti kata lain, Beijing menjadi ibu kota dunia yang baru.
OBOR adalah anjakan kepada dasar keterbukaan yang diperkenalkan oleh mendiang Deng Xiao Peng. Deng mengakui kesilapan ideologi dan dasar era Mao Tze Dong di mana angka rasmi mengatakan 20 juta rakyat China mati kebuluran. Tetapi ada anggaran ilmiah mengatakan jumlah kematian mencapai 45 juta.
Cara paling mudah bagi kita memahami dasar dan rancangan OBOR adalah dengan memahami pembelian 49.9 peratus saham Proton oleh Geeley, pembelian penjana elektrik bebas (IPP) milik 1MDB oleh China Nuclear, pembinaan pelabuhan laut dalam dan zon industri China di Kuantan, cadangan pembinaan pelabuhan laut dalam di Melaka, projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), projek hartanah raksasa di Iskandar Malaysia dan penjualan kelengkapan perang China kepada Malaysia.

Semua urus niaga dan projek di atas adalah sebahagian daripada OBOR yang terasnya adalah pembangunan infrastruktur dan pengangkutan.
China tidak ada pilihan melainkan mengembangkan pengaruh politik, ekonomi dan ketenteraannya ke luar negara kerana ia tidak lagi boleh berdiri bersendirian.
Walaupun China cuba mengawal bilangan penduduknya dengan mengamalkan dasar sebuah keluarga seorang anak, namun bumi China tidak tetap tidak mampu menampung pertumbuhan itu.
China terpaksa memandang melepasi sempadannya dan ia kini cukup yakin bahawa perkembangan ekonominya serta perluasan ke luar negara membolehkannya menggugurkan dasar sebuah keluarga seorang anak mulai tahun 2015.

Dengan penduduk kira-kira 1.35 bilion, China menampung sekitar 22 peratus penduduk dunia tetapi mempunyai hanya kira-kira 10 peratus sahaja tanah pertanian. Sebab itulah China amat terdedak kepada masalah kekurangan makanan.

Ketidakseimbangan ini menjadi semakin buruk kerana masyarakat China menjadi semakin makmur dan memerlukan lebih banyak makanan serta bahan-bahan mentah industri.
Kadar kelahiran meningkat dan jangka hayat semakin panjang tetapi tanah pertanian menjadi semakin sempit akibat kemusnahan alam sekitar dan kemaraan padang pasir.
Tahun lalu penduduk China meningkat 7.9 peratus atau 17.86 juta orang hasil penarikan balik dasar sebuah keluarga seorang anak manakala kawasan seluas Melaka dan Pulau Pinang ditelan padang pasir setiap tahun.
Jadi China tidak ada pilihan selain daripada meluaskan wilayah kepentingan ekonomi melapasi sempadannya dan mengeksport penduduknya secara sementara atau kekal.
Rajyat China kini merantau hingga ke Afrika untuk berniaga
Malaysia Di Mata Naga
Walaupun OBOR meliputi benua Asia, Eropah dan Afrika, namun tidak ada negara yang lebih strategik di dalam pelaksanaannya daripada negara kita Malaysia.

Ini adalah kerana Malaysia relevan dan penting dalam kedua-dua laluan OBOR, iaitu jalan sutera darat (Silk Road) dan jalan laut (Silk Road of the Sea). Oleh sebab itulah projek-projek OBOR di Malaysia merangkumi laut dan darat. 
Kedudukan Malaysia yang strategik di antara Laut China Selatan dan Lautan Hindi menjadikannya faktor wajib kalau OBOR hendak dijayakan. Jadi tidak hairanlah kalau China begitu beria-ia dan murah hati membiayai projek-projek prasarana laut dan darat di Malaysia.
Dengan mengawal Selat Melaka, China boleh mengawal pergerakan perdagangan di Laut China Selatan, Lautan Hindi dan mengembangkan layar armadanya ke seluruh dunia.
Misalnya, pelabuhan milik bersama Malaysia-China di Kuantan boleh menjadi pelabuhan terakhir dalam rangkaian pertahanan pulau yang sedang dimajukan oleh China. Kuantan boleh menjadi pangkalan hadapan (forward base) dalam pertahanan lautnya.
Konsesi 30 tahun pelaburan tambahan Kuantan dimiliki Malaysia-China
Untuk menguasai Lautan Hindi, China bercadang membina sebuah pelabuhan air dalam di Melaka – negeri yang menjadi persinggahan utama Laksamana Zheng He (Cheng Ho) pada abad ke-15 (di antara 1406 dengan 1433).
Melaka dipilih bukan sahaja kerana faktor sentimental lawatan Xheng He tetapi juga kerana di situlah Selat Melaka paling sempit. Dalam masa krisis, sekatan boleh didirikan dengan mudah bagi mencekik perkapalan melalui Selat Melaka.

Walaupun OBOR dipromosikan sebagai kerjasama ekonomi berskala besar namun ia tidak mengabaikan aspek ideologi. China adalah penghulu ideologi komunisme pasca keruntuhan Empayar Soviet.

Sekarang China adalah pemacu utama ideologi komunis. Kuasa mutakhir di China adalah Parti Komunis China (PKC). Semua dasar dan perancangan dilakukan oleh PKC melalui biro politik (politbiro) dan disahkan oleh Kongres Rakyat.

Instrumen kuasa PKC pula adalah Tentera Pembebasan Rakyat (PLA). Ia adalah pasukan tempur terbesar dunia dengan kira-kira dua juta anggota.
Secara tidak disedari penyusupan ideologi ini telah pun bermula apabila PKC menandatangani perjanjian kerjasama dengan MCA tahun lalu dan tahun ini Umno pula dijemput untuk berucap di kongres PKC di Beijing.
PKC memuji sumbangan Umno dalam menjayakan OBOR. Ini adalah perkembangan yang cukup sensasi kerana selama lebih 40 tahun PKC menjadi penyokong tegar kepada fahaman komunis di Tanah Melayu dan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) (1948-1989).

Pengaruh luar biasa China terhadap Putrajaya dikhuatiri akan mengganggu gugat politik domestik Malaysia. Ini diperkukuhkan oleh kenyataan bekas Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang semasa mengunjungi Setiausaha Agung Umno, Adnan Mansor baru-baru ini.
Adnan Mansor (kanan) bersama bekas Duta China Huang Huikang
Katanya PKC melihat Umno dan Barisan Nasional bukan hanya sekadar rakan dalam jalinan parti politik tetapi juga sebagai sahabat serantau merentasi hubungan politik.
Kenyataan partisan ini amat membimbangkan kerana jelas PKC tidak berkecuali lagi dalam bidang politik Malaysia.
Malah sudah ada laporan dan analisis media serantau yang mengatakan perhubungan akrab dan pergantungan Pentadbiran Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, kepada China akan mempengaruhi pilihan raya umum akan datang.
Naga Lapar
Tidak ada negara di dunia yang boleh menolak atau mengetepikan peranan China dalam segala bidang. Hatta Amerika pun kini banyak bergantung kepada China.
Ini tidak menghairankan kerana selepas Amerika, China adalah kuasa ekonomi terbesar dunia.

Namun persoalannya, apakah kita menjadi rakan perdagangan yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi seperti yang menjadi dasar kita sebelum ini atau kita melutut menjadi hamba kepada China?
Kita boleh berniaga dengan mana-mana negara pun tanpa mengorbankan kedaulatan dan keselamatan kita.

Tetapi kalau kita menyerah kepada hegemoni kuasa besar, khususnya China, kita janganlah kecewa jika suatu hari nanti kita menjadi negara hamba (slave nation).
Pergantungan yang melampau kepada China telah pun menyebabkan beberapa buah negara di Asia dan Afrika ‘tertakluk” atau menanggung beban hutang yang teruk.
Awal tahun ini Zimbabwe menerima pakai mata wang China yuan sebagai mata wang nasional semata-mata untuk mendapat potongan hutang AS$40 juta (kira-kira RM172 juta).
Di Asia pula Sri Lanka tidak lagi mampu membayar balik hutang kadar tinggi kepada China untuk membina pelabuhan dan lapangan terbang yang kekurangan pelanggan.
Kontraktor projek-projek ini adalah China. Akibatnya Sri Langka terjerumus ke dalam perangkap hutang.
Aliran di negara kita pun tidak banyak berbeza. Pinjaman diperoleh dari China pada kadar tinggi (kadar pasaran). Projek-projek dibina oleh kontraktor dari negara China yang membawa masuk pekerja China. Di pihak yang lain pula kelestarian (sustainability) projek China tidak begitu meyakinkan.
China akan memberikan dan membiayai apa yang kerajaan Malaysia perlukan kerana kalau kita tidak dapat bayar balik hutang, China akan ambil alih projek-projek itu dan dengan itu ia dapat bertapak secara kekal di negara kita. 
Wallahuaklam.






Comments

Popular posts from this blog

Lebai Otak Tersumbat ! Episod Jilat Kaharq Ijau.| Edisi Tertangguh.

Wanita Arab dan Bukit Bintang - video

UG itu BENAR Bro ! Pemilihan PAS Dicatur UG [video]